Pembangunan dan persediaan XXXV Olympiad

Setelah dinobatkan sebagai tuan rumah Sukan Olimpik 2032, bandaraya Brisbane mempunyai 11 tahun untuk membuat persediaan sebelum penganjuran temasya sukan tersebut. Menurut IOC, anggaran kos untuk penganjuran temasya sukan tersebut ialah kira-kira 4.45 bilion ASD (RM13.8 bilion, pada 2 Ogos 2021).[11]

Garis masa

  • 23 Julai 2021: Jawatankuasa Olimpik Australia (AOC) dan Sukan Komanwel Australia (CGA) menghantar laporan "Sport - Powering Australia's Future (10+10)" yang mencadangkan model pelaburan sukan yang baharu yang boleh dilaksanakan di Australia sepuluh tahun sebelum dan selepas Sukan Olimpik 2032. [12][13]
  • 7 Ogos 2021: Datuk Bandar Brisbane, Adrian Schrinner, menyertai forum "Sustainable Recovery Tokyo Forum", juga dikenali sebagai "Re StaRT", bersama dengan empat datuk bandar tuan rumah Olimpik yang lain di Tokyo, Jepun. Beliau dan empat datuk bandar yang lain telah mentandatangani Deklarasi Pemulihan Lestari Tokyo di forum tersebut.[14][15]
  • 9 Ogos 2021: World Netball telah mengumumkan niatnya untuk memasukkan bola jaring ke dalam senarai program sukan Brisbane 2032.[16]
  • 9 September 2021: Ahli politik Australia, Ted O'Brien telah dilantik sebagai utusan khas Perdana Menteri bagi Sukan Olimpik dan Paralimpik 2032.[17]
  • 9 September 2021: IOC telah memanjangkan hak penyiaran bagi Televisyen Pusat China (CCTV) sehingga 2032.[18]
  • 15 September 2021: Bronte Barratt, pemenang empat pingat Olimpik dalam acara renang, telah dipilih oleh AOC sebagai wakil atlet yang pertama dalam Jawatankuasa Pengelola Sukan Olimpik dan Paralimpik 2032.[19]
  • 7 Oktober 2021: Ketua Menteri Queensland, Annastacia Palaszczuk, melantik sendiri sebagai Menteri Olimpik. Beliau akan mengetuai pasukan kementerian yang menguruskan hal berkaitan Sukan Olimpik 2032.[20]
  • 7 Oktober 2021: Ahli Jawatankuasa Koordinasi IOC bagi Brisbane 2032 telah diumumkan. Jawatankuasa tersebut akan diketuai oleh Kirsty Coventry, seorang atlet renang Zimbabwe yang pernah memenangi dua pingat emas dalam Sukan Olimpik.[21]

Projek pembinaan dan naik taraf tempat penganjuran

Hampir semua bangunan yang akan menganjur acara sukan semasa Sukan Olimpik 2032 merupakan bangunan yang sedia ada atau sedang dinaik taraf. Kebanyakan tempat penganjuran acara sukan terletak di dalam Zon Brisbane, seperti Brisbane Live yang sedang dibina di Jalan Roma akan menganjurkan acara berenang dan polo air. Sebuah stesen kereta api juga akan dibina di kawasan tersebut. Anggaran kos projek-projek pembinaan ini adalah sebanyak $A2 billion dan projek tersebut dijangka akan disiap bina pada tahun 2024.[22]

Stadium Olimpik utama, The Gabba, atau dikenali secara rasminya sebagai Brisbane Cricket Ground, akan dinaik taraf untuk meningkatkan kapasiti tempat duduknya.[23]